Wednesday, January 5, 2011

Sejarah batik

Batik merupakan salah satu kraftangan yang unggul di Malaysia. Batik merupakan merupakan satu jenis kain yang dihasilkan melalui proses menerap lilin cair dan mencelup warna.
Perkataan batik berasal daripada bahasa Indonesia yang bermaksud ‘pakaian yang mempunyai titik-titik kecil’. Perkataan ‘tik’ bermaksud ‘titik’ yang asalnya daripada perkataan yang berdetik atau ‘tik-tik’. Ada yang mengatakan bahawa perkataan batik berasal dari Jawa iaitu ‘tritik’ yang membawa maksud proses menghasilkan batik.
Mengikut catatan sejarah, batik dalam bentuk primitif diketahui wujud sejak 2,000 tahun lalu di Parsi dan di Mesir. Di Negara China dan Jepun, kain bercorak batik mula digunakan sejak abad ke-7 dan ke-8 lagi. Manakala di Tanah Melayu, batik mula diperkenalkan sejak abad ke-15 Masihi iaitu pada zaman pemerintahan Parameswara di Melaka.
Menurut Profesor Dr. Zakaria bin Mohd Ali (2005), batik bermula “ Sejak awal lagi, kain kapas yang bercorak itu digunakan oleh pembesar dan juga orang biasa tanpa mengira kedudukan dalam masyarakat yang berbentuk feudal. Pembesar-pembesar negeri berkemampuan untuk membuat sarong, batik, sutera dalam perkarangan Istana, atau menepahnya dari luar. Dalam kronika abad ke-15 yang bernama Sejarah Melayu, ada dinyatakan Sultan Melaka bergitu terpesona oleh seri corak pada kain dari benua Kalinga sehingga baginda menyuruh pegawai setianya Hang Nadim ke India untuk membawa balik sebanyak sekapal tetapi penulis kronika hendak menjaga susila ketertipan, maka ia menukar jumlahnya itu menjadi 40 jenis kain dan 40 kaki panjang bagi setiap satu dan setiap helai kain itu mempunyai 40 motif bunga”.
Selain itu, menurut Siti Zainon Ismail (1986) dalam penulisannya yang bertajuk ‘Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi’, asal usul penciptaan batik masih sukar dipastikan. Meninjau kembali kepada kegiatan pencelupan kain yang telah dihasilkan oleh Turki, Mesir, dan Iran yang banyak mencipta corak-corak kain seperti kain batik, atau kepada India yang telah mengenalkan berbagai jenis tekstil seperti celup ikat Bhadana dengan corak pelangi sutera dan Negara China yang mengenalkan kain pelangi sutera.
Walaubagaimanapun, dari segi keunikan dan keaslian alat yang digunakan, jelas menunjukkan bahawa Jawa merupakan ‘tempat kewujudan batik yang sebenar’. Di Indonesia, batik telah diperkenalkan dan dikenali sejak abad ke-12, iaitu sebelum Perang Dunia Kedua, Jawa merupakan kawasan di Kepulauan Melayu yang memonopoli perdagangan batik dengan dunia luar.
Menurut Bhupinder Singh (1962), keseian batik telah dapat dikesan sejak abad ke-12. Pada masa itu, batik telah dikeluarkan oleh Turki, Egypt dan Persia. Kesenian ini keudiaannya diperkenalkan di Timur Tengah dan Jawa melalui orang-orang Hindu bersama-sama dengan kesenian yang lain. Manakala menurut Pepin Van Roojen (1993), Batik from Malay Peninsula as with batik in Sumatra, it is not possible to determine with certainly whether an early piece used in the Peninsula was made there, or was imported from Jawa. By contrast with the case of Sumatra. However, there has never been a specific ‘peninsular’ style of batik made in Jawa. Instead, it seems almost all styles were exported to the Peninsular, of which the Indo-European variety was eventually to have the greatest impact on the design of batik produced in the Peninsular itself.
Keadaan ini menujukkan perkembangan batik berasal dari Semenanjung Malaysia yang mana serupa dengan perkembangan batik di Indonesia. Oleh itu, segi perbandingan pendapat beberapa tokoh ini, maka dapat disimpulkan bahawa batik wujud dan diperkenalkan di Jawa pada abad ke-12.
Bertolak dari abad ke-12, batik telah berkembang dari segi penggunaan dan penciptanya. Di Malaysia, batik telah bermula pada kurun ke-15. Kedatangan batik adalah melalui negara jiran iaitu Negara Indonesia. Di Malaysia, negeri yang bergiat aktif dengan pengusahaan ini adalah Kelantan dan Terengganu. Hal ini terbukti dengan adanya karya Munsyi Abdullah yang berjudul Pelayaran Abdullah. Batik Melayu yang terdapat di kedua-dua negeri ini dipengaruhi langsung dari Jawa dengan menghasilkan batik meniru batik Jawa dan juga batik Siam.
Pada tahun 1911, salah seorang pengusaha Kelantan iaitu Haji Che Su Bin Ishak telah mendirikan bengkel yang berdekatan dengan tebing sungai Kelantan. Nama tempat itu ialah Lorong Gajah Mati. Beliau menggunakan kulit kayu dan pelbagai batang kayu keras yang mengeluarkan getah yang kemudiaan dibancuh di dalam bekas, selepas itu, beliau akan mencelup gumpalan kain ke dalamnya sehingga terdapatlah corak-corak biru kehitam-hitaman dengan percikan putih. Kain yang dihasilkan akan dijual sebagai kain tudung.
Disebabkan proses membuat batik ini memerlukan bahan semula jadi seperti air, maka kebarangkalian pengusaha batik dirikan bengkel berhampiran dengan tebing sungai atau mempunyai tempat menyimpan air yang besar atau banyak untuk proses membatik. Dalam proses membuat batik, air merupakan medium yang sangat penting untuk membersihkan celupan dari bahan lilin dan untuk membersihkan kain yang telah dicelup. Selepas itu, dengan adanya kemudahan api dan air, pengusaha tidak lagi memilih tempat yang berdekatan dengan sungai, sebaliknya lebih mengutamakan kawasan yang berhampiran dengan Bandar demi memudahkan perniagaan. Hingga hari ini, batik tidak lagi merupakan kraftangan yang dilakukan oleh tukang atau perusahaan kecil, sebalinya terdapat beberapa pusat perusahaan batik yang telah ditinjau merupakan perusahaan besar yang mempunyai ramai tenaga kerja seperti di Persekutuan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Kelantan dan Terangganu.
Pada tahun 1922, berlakunya perubahan dalam teknik membatik iaitu terciptanya blok-blok kayu yang diukir coraknya. Blok inilah yang dicelup dalam lilin cair untuk diterap pada kain putih. Kain-kain yang dibuat dikenali sebagai batip cap atau kain cap. Pada awalnya, warna yang digunakan masih terbatas. Warna-warna campuran tidak dapat sebati bagi menghasilkan warna baru iaitu warna sekunder, warna ini sering dijadikan ‘tanah kain’. Proses menggunakan blok kayu berukir tidak dapat digolongkan sebagai batik, hal ini kerana mengikut cara penghasilan dan definisi batik Jawa, batik haruslah disiapkan dengan penggunaan lilin. Selepas itu iaitu pada tahun 1926, batik semakin berkembang dengan kemasukan pewarna kimia dari Eropah. Pada masa itu, reka corak batik mula dipengaruhi dengan reka corak Batik Indonesia.
Di samping itu, batik tulis atau batik canting yang bergitu popular di Jawa tidak dapat berkembang di Negara ini adalah kerana batik tulis pada asalnya merupakan batik kraton yang digunakan oleh golongan bangsawan. Dengan demikian, lilin tidak diterap dengan menggunakan blok tetapi ia memerlukan kecekapan tangan untuk melukis atau mencanting. Kebiasaan kerja-kerja ini dijalankan atau dilakukan oleh tukang-tukang perempuan. Oleh kerana tukang cap yang dibawa masuk bukan tukang perempuan, maka tidak hiaranlah jika batik lilin cap lebih cepat meresap ke Kelantan dan Terengganu.
Pada tahun 1932, Haji Ali Bin Ismail iaitu seorang ahli perniagaan dari Terangganu telah bertemu dengan seorang pembuat batik dari tanah Jawa di Singapura. Pada masa itu, Haji Ali Bin Ismail telah mengambil kesempatan dan memperlajari teknik-teknik membuat batik. Di samping itu, beliau juga membawa contoh-contoh blok batik yang diperbuat dari kayu ke Terengganu. Seterusnya beliau menggunakan kepakaran yang ada pada Haji Awang iaitu bekas pekerja Haji Che Su dengan membuat manifestasi dan memulakan teknik-teknik baru menggunakan blok kayu cara Indonesia.
Selepas itu, Haji Ali membawa pulang pula blok tembaga dari Singapura dengan menggunakan cara baru iaitu menggunakan teknik terapan lilin pada tahun 1936. Pada awal tahun 40-an, batik dengan cara penerapan lilin dapat dikatakan berkembang dengan pesat dan digunakan dengan meluas. Rentetan itu, jumlah tukang atau pekerja mahir dalam bidang ini semakin ramai. Penggunaan blok kayu telah diganti dengan blok besi atau tembaga. Disebabkan pengusaha semakin banyak dan persaingan semakin sengit, maka keadaan ini memaksa pengusaha untuk menghasilkan batik yang mempunyai kualiti dari segi ragam hias, corak yang cantik dan terperinci di samping penggunaan warna yang pelbagai.
Proses terapan adalah proses yang terpenting bagi batik lilin, batik lilin yang baik dan berkualiti perlu melalui proses terapan tembus ke bahagian belakang kain. Ini bererti bahawa proses terapan memerlukan lilin yang dipanaskan secara betul-betul dan memerlukan kemahiran tangan supaya lilin yang dicanting dapat tembus ke bahagian belakang kain. Sekira proses ini berjaya, maka warna celupan tidak akan menembusi ke bahagian berlilin yang akhirnya dapat meninggalkan kesan cahaya bersih.
Sehingga ke hari ini, batik terus mendapat sambutan di Malaysia walaupun ia merupakan lapangan baru yang berada di Semenanjung Malaysia selepas kemerdekaannya. Batik melalui sejarahnya merangkumi ilham persendirian, budaya, masyarakat, dan identiti suatu masyarakat. Menghadapi dunia yang semakin moden dan canggih, perusahaan batik terus berkembang dan maju dengan menggunakan pelbagai keadah misalnya penggunaan alat sains dan teknologi supaya dapat memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat.
Perkembangan batik kini semakin melangkah ke depan dan batik sekarang telah diperkenalkan dengan pelbagai nama. Misalnya, batik dimensi baru, batik kontemporari dan sebagainya. Walaubagaimanapun, corak, motif dan produk yang dihasilkan masih lagi dikenali sebagai batik. Fungsi pakaian traditional yang masih dikekalkan termasuk pakaian harian seperti kain sarung, selendang, sapu tangan, pakaian basahan, buaian untuk bayi, kain mengendung anak kecil, kelubung, pengikat kepala, tempat membawa bekal dan kain penutup mayat dan penutup keranda.



Sejarah batik Ikat Celup
Perkembangan batik di Kepulauan Tanah Melayu bermula sejak zaman Srivijaya pada tahun 1770-an. Contoh kain terawal penciptaan batik asal tempatan adalah kain pelangi atau Bhana tanpa menggunakan lilin. Ciptaan batik pelangi dikenali sejak zamn pemerintahan Sultan Zainal Abidin II iaitu Sultan Terengganu Ketiga (1773-1808). Tokoh utama ketika itu ialah Minah Pelangi. Oleh itu, sejarah batik ini mula diketahui pada abad ke-18 apabila Batik Minah Pelangi memulakan perusahaan Batik di Terangganu.
Pada tahun 1911, Haji Che Su Bin Haji Ishak memulakan perusahaan Batik di kawasan Lorong Gajah Mati, Kota Bahru Kelantan. Pada masa itu, teknik pembuatan batik hanyaklah menggunakan teknik ikat dan celup dan dikenali sebagai ‘Batik Pelangi’. Pada masa itu, kain diimport dari Thailand iaitu kain jenis ‘Kain Pereir’ dan warna pada masa itu dibuat sendiri dengan menggunakan pewarna buah dan kulit kayu. Oleh itu, batik pelangi yang dihasilkan hanyalah terdapat warna biru dan hitam sahaja. Selepas itu iaitu pada tahun 1926, setelah kemasukan pewarna kimia dari Eropah telah menbawa perkembangan terhadap batik pelangi.
Perkembangan proses mrncelup kain di Malaysia sejajar dengan perkembangan mencelup benang untuk tenunan songket dan tenun ikat. Sebelum batik lilin dikenali dengan meluas, batik pelangi telah wujud dengan menggunakan teknik mencelup kain dengan dasarnya diikat. Corak yang dihasilkan pada permukaan kain dengan berbagai kesan warna dari proses pencelupan. Teknik ini dikatakan pengaruh langsung dari Negara India dan China. Sungguhpun pengetahuan menggunakan bahan pencelup dibawa dari Negara luar tetapi tukang-tukang Melayu telah mengolah dan mencipta teknik yang tersendiri seperti menggunakan blok dan penerapan lilin. Dengan itu, ragam hias dilukis terdahulu dengan menggunakan lilin sebelum dicelup dengan pewarna.

No comments:

Post a Comment